Latest News

Kisah Rumahtangga Janda dan Duda

Isu Rumahtangga : Bukan Mudah Janda Kahwin Duda




Saya tidak pernah memaparkan kisah untuk ruangan DCCK ini jika ia datang melalui panggilan telefon, tetapi untuk kes Shahrulbariah ini agak berlainan sedikit. Beliau beberapa kali menghubungi penulis melalui SMS. Setelah beberapa kali menjawab pertanyaan dan soalannya, akhirnya timbul simpati kerana keadaannya agak menarik. Akhirnya kami berbual di telefon.

Saya bertanyakan masalahnya. Terus terang Shahrulbariah memberitahu jiwanya tertekan dan tidak pernah tenteram setiap kali datangnya Hari Raya. Hatinya tidak pernah gembira seperti orang lain. Semuaya kerana peristiwa-peristiwa pahit yang pernah dilaluinya sejak lebih 10 tahun lalu yang hingga kini sukar dibuang.

Katanya, banyak orang berkata, hidup menjanda banyak masalah, tetapi tidak sebanyak masalah berbanding kalau janda berkahwin dengan duda. Lagi besar masalah mereka. Kerana ia melibatkan hubungan dua buah keluarga yang berlainan keadaannya ditambah pula kerenah anak-anak pasangan suami isteri tadi.

''Bertuahlah kalau seseorang ibu tunggal itu dapat berkahwin dengan suami yang memahami masalah masing-masing. Tetapi bagi diri saya bukan tuah yang saya dapat berkahwin dengan duda, sebaliknya telah mengeruhkan hubungan saya dengan anak-anak saya sendiri.


''Tujuan saya paparkan kisah hidup saya ini bukan untuk mengumpat sesiapa, tetapi sekadar melepaskan rasa sesak di jiwa. Saya perlukan ketenangan hati dan fikiran supaya saya boleh menghabiskan sisa-sisa hidup saya ini lebih bermakna lagi.

''Saya berkahwin dengan Zahari lebih 10 tahun lalu. Ketika itu saya ibu tunggal dengan tiga anak sementara Zahari duda empat anak. Mulanya memang saya tak bercita-cita nak kahwin lagi setelah diceraikan oleh suami. Saya cuma mahu bekerja demi membesarkan anak-anak supaya hidup mereka sempurna, mendapat pelajaran setinggi mana yang mereka mampu.

''Tetapi hidup di bandar dengan pendapatan tak seberapa dan bekas suami pula tidak pernah memberi nafkah untuk anak-anak sejak kami bercerai hinggalah selepas dia berkahwin lain beberapa bulan kemudian, tentulah merumitkan lagi kehidupan kami anak beranak. Bukan itu sahaja, dia tidak pernah datang menjenguk anak-anaknya kerana takut saya minta duit.

''Ketika itu hidup saya memang susah, mak bapa dah meninggal dunia. Adik-beradik bukanlah tempat kita meminta bantuan, alasan mereka juga ada anak-anak yang perlu diberi makan. Hiduplah saya bersendirian bersama anak-anak yang masih kecil yang tua darjah enam dan yang kecil darjah satu. Saya menyewa rumah pangsa, terletak tak berapa jauh dengan sekolah. Jadi mudahlah mereka ke sekolah berjalan kaki.

''Nak jadikan cerita masuk tahun ketiga menjanda, kawan tempat kerja saya mencadangkan saya berkahwin lagi, kebetulan saudaranya baru kematian isteri mencari calon isteri yang boleh menjaga anak-anaknya seramai empat orang. Syaratnya wanita itu mesti ibu tunggal.

''Kawan mencadangkan saya terima pinangan saudaranya kerana katanya dia kenal dengan Zahari, seorang yang penyayang isteri dan anak-anak. Katanya lagi, lepas kahwin saya boleh tinggal di rumahnya, tak ada masalah nak sewa rumah.

''Mulanya memang saya tak setuju, tetapi Zahari sendiri datang ke rumah memujuk saya menjadi isterinya. Katanya dia memang sayangkan budak-budak, dan dia bersedia membantu saya membesarkan tiga orang anak saya seperti anaknya sendiri.
''Saya tak buat keputusan serta merta. Selepas enam bulan berfikir dan cukup yakin dengan kata-kata Zahari mahu membantu menjaga anak-anak saya, maka kami pun nikah dalam satu majlis paling ringkas. Tetapi malangnya saya tak nampak perubahan wajah anak-anak saya yang tidak berapa suka saya berkahwin lagi. Namum mereka tidak membantah.


''Lepas berkahwin kami berpindah ke rumah Zahari. Mulanya memang semua nampak aman, baik dan tidak ada masalah langsung. Walaupun tak begitu rapat tetapi tidak nampak langsung mereka bermusuhan. Bila cuti sekolah, anak-anak Zahari pulang ke kampung emak Zahari dan ada juga ke kampung ibu mereka.


''Tetapi masuk enam bulan, anak-anak perempuannya mula menjarakkan diri dengan anak perempuan saya. Langsung tak mahu berbual apa lagi bermesra macam dulu. Dulu pernah mereka meminta bantuan anak saya mengajar mereka mata pelajaran yang dia tak faham, tetapi lepas itu mereka buat hal masing-masing.

''Saya tanya anak saya, adakah mereka bergaduh, dia menafikan, tetapi sejak itu anak-anak saya banyak menghabiskan masa di dalam bilik belajar. Keluar sekali sekala untuk menonton tv mana-mana program kesukaan mereka terutama anak-anak lelaki saya yang kecil.

''Tetapi Zahari mula membuat teguran sinis kepada anak-anak saya. Bukan itu sahaja dia mula menegah mereka menonton tv, duduk di ruang tamu dan akan memukul mereka kalau balik lewat dari sekolah. Katanya dia menegur untuk kebaikan, tetapi tidak pula kepada anak-anaknya. Malah saya turut menjadi sasaran marahnya kerana tidak pandai ajar anak-anak.

''Anak-anak saya bukan kaki tv, menonton sekali sekala pun dilarang. Akhirnya mereka memerap di dalam bilik kerana nak duduk di ruang tamu atau di ruang makan ada saja mata-mata yang tidak selesa dengan mereka. Pernah sesama mereka bercerita, duduk di rumah sendiri biarpun kecil lebih selesa dari menumpang di rumah orang.

''Saya nasihatkan mereka supaya rajin belajar, dan apa juga teguran ayah tirinya adalah untuk kebaikan mereka. Tetapi mereka tetap kurang senang, kalau boleh ingin kembali duduk di flat atau mana-mana rumah sewa, biar kecil asalkan hati mereka tenang, tidak ada orang yang marah-marah. Saya nasihatkan mereka bersabar.

''Demi menjaga hubungan kami anak beranak supaya kekal bahagia, saya nasihatkan mereka supaya rajin belajar agar terpilih melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Alhamdulillah hasrat mereka tercapai.

''Tapi masalahnya bila dah masuk asrama apabila cuti sekolah mereka jarang-jarang balik ke rumah, alasannya tak selesa dengan ayah tiri terutama bila tidak ada seorang pun anaknya berjaya masuk ke sekolah asrama penuh, perasaan iri hati mula memenuhi jiwa mereka.

''Keadaan yang tidak harmoni membuat anak-anak saya mencadangkan supaya saya mencari rumah sewa atau flat kalau ingin melihat mereka berkumpul adik beradik seperti dulu. Kalau tidak mereka akan membawa diri masing-masing.

''Bila saya suarakan hasrat untuk menyewa rumah untuk anak-anak saya, Zahari membantah, katanya membazir kerana mereka bukan selalu ada di rumah. Dan bila sendirian mereka akan bebas dan akan jadi tak tentu hala. Saya pujuk anak-anak balik ke rumah bila cuti sekolah, tak baik duduk di rumah kawan-kawan yang saya tak kenal.

''Tetapi kata mereka duduk di rumah kawan lebih tenang dan mudah untuk belajar daripada duduk rumah ayah tiri terasa diri dikongkong dan tidak disukai oleh keluarganya. Perubahan Zahari membenci anak-anak saya memang jelas, terutama setiap kali anak-anaknya balik dari bercuti di kampung. Mereka langsung tidak mahu bercakap dengan anak-anak saya. Itulah sebabnya anak-anak saya lebih suka melepak dalam bilik daripada duduk di ruang tamu. Sebab apa juga perbuatan mereka tidak disenangi oleh anak-anak Zahari, terutama yang perempuan.

''Sebagai contoh sedang menonton tv mereka tukar channel lain, nak baca paper, mereka pun nak baca sama. Hinggakan nak mandi pun terpaksa tunggu giliran, sedangkan mereka ada bilik air di atas, tak perlu mandi di bawah tempat anak-anak saya mandi. Pendek kata memang saya nampak menyulitkan mereka. Pernah anak-anak saya menangis bila dikata tak malu menumpang duduk rumah mereka. Bila saya beritahu Zahari, dia menyalahkan anak-anak saya. Itulah antara punca mereka lebih senang duduk di rumah kawan.

''Pendek kata bila anak-anak saya duduk rumah, saya lebih banyak menangis, bukan tak suka anak-anak balik, tetapi kesian dengan penghinaan yang mereka hadapi. Tetapi apa yang boleh saya lakukan kerana menumpang di rumah orang.

''Itu hal anak-anak saya, hidup saya pun bermasalah, setiap hari balik kerja saya bekejar memasak untuk makan malam, berkemas rumah, mencuci pakaian, menggosok, walaupun anak-anak perempuannya sudah besar mereka tidak membantu, mereka tahu makanan terhidang di meja, berkemas meja lepas makan pun mereka tak bantu. Hidup saya tak ubah macam pembantu rumah menguruskan keluarga Zahari, sedangkan anak-anak sendiri duduk rumah orang.

''Paling menyayat hati bila Hari Raya, Zahari akan bawa saya dan anak-anaknya beraya di kampungnya, tinggallah anak-anak saya di rumah, nak bawa mereka bersama, kereta tak muat, lepas tiga hari baru kami balik. Saya menangis tinggalkan mereka berhari raya sendirian.


''Sebab itulah bila anak-anak saya dah besar mereka lebih senang berhari raya di rumah kawan-kawan. Apa saya nak kata, Zahari tak mahu beraya di rumah sendiri.


''Kerana banyak bersabar anak perempuan saya yang lulus U terus dapat tawaran bekerja sementara, dan kemudiannya diserapkan jadi pekerja tetap. Kerana ada jodoh dua tahun kemudian dia berkahwin. Semua majlis perkahwinan berlangsung di rumah lelaki, tidak ada sebarang persiapan di rumah kami, kerana kata anak saya dia tak mahu menyulitkan hidup saya yang mungkin akan menghadapi masalah dengan Zahari nanti.

''Kerana tidak ada kuasa dan tidak berharta, hidup saya jadi serba salah, saya terpaksa mengikut cakap anak saya. Lagi pun saya tahu Zahari memang tidak suka rumahnya diguna untuk majlis perkahwinan anak saya. Maklum anak tiri! Lagi pun dia sudah berkira-kira hendak mengadakan majlis kahwin anaknya sendiri di rumahnya.

''Tetapi hati seorang ibu hanya Allah yang tahu. Saya benar-benar sedih pengorbanan saya kepada Zahari dan anak-anaknya tidak pernah mendapat perhatian, sebaliknya hidup saya tak ubah seperti pembantu rumah, menguruskan kehidupan mereka anak-beranak. Oleh kerana terlalu menjaga dan menguruskan keluarganya, hidup anak-anak saya sendiri terbiar.

''Kini setiap kali Hari Raya dua orang anak saya akan mengikut kakaknya berhari raya di rumah mertua kakaknya. Kerana mereka tinggal bersama kakaknya. Kini anak saya yang kecil masih belajar di kolej, abangnya sudah bekerja. Mereka cuma menjenguk saya sekali sekala, lepas sejam dua pulang.

''Saya sedar hubungan saya dengan mereka memang tidak ada kemesraan, bukan saya tak sayangkan anak-anak, tetapi mereka merasakan saya lebih sayangkan suami daripada mereka, sebab mereka merasakan lebih banyak hidup bersendirian daripada dibelai dan dibesarkan oleh ibu sendiri.

''Kadang-kadang saya rasa saya berdosa kepada anak-anak sendiri kerana tidak menjaga mereka sepatutnya dilakukan oleh seorang ibu. Sebaliknya saya mengikut dan patuh kepada suami. Tak lama lagi Hari Raya, saya akan beraya dengan anak-anak tiri, sementara anak-anak sendiri beraya di rumah orang. Saya nak tanya adakah saya ibu yang zalim, kerana patuh kepada suami hingga sisihkan anak-anak sendiri? Kadang kala saya terfikir ibu tunggal macam saya tak patut kahwin lagi, kerana ia lebih menyusahkan hidup anak-anak sendiri, '' demikian soalan cepumas Shahrulbariah untuk para pembaca menjawabnya.

Begitulah keadaan dan masalah yang dihadapi oleh Shahrulbariah. Keadaan hidupnya tak ubah seperti pepatah Melayu di telan mati emak diluahkan mati bapa. Tetapi yang mana lebih penting?

No comments:

Post a Comment

JANDA SEPI Designed by Templateism.com Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.